Pengakap Lebah

               Keahlian Pra Pengakap Kanak-kanak (PPKK) Bee Scout terbuka kepada kanak-kanak yang berumur lingkungan 5-8 tahun. Pergerakan ini dikendalikan oleh semua guru prasekolah sebagai pemimpin di semua sekolah Kementerian Pelajaran dan boleh juga diperluaskan ke tadika KEMAS, PERPADUAN, PASTI dan Swasta.



         Skim latihannya selari dengan tuntutan perlaksanaan prasekolah mengikut Akta Pelajaran 1996 (Akta 550 dan Akta 555) dan dijalankan secara sisipan bersesuaian dengan pengajaran dan pembelajaran pendidikan prasekolah yang fleksibel serta memerlukan penglibatan daripada ibu bapa. Skim latihan tersebut akan berterusan sehingga kanak-kanak berumur 8 tahun iaitu sebelum menjadi ahli pengakap kanak-kanak yang berumur antara 8-11 tahun.

        Di dalam PIPP(Pelan Induk Pembangunan Pendidikan) di Malaysia, Pendidikan Prasekolah diberikan penekanan. Sehubungan dengan itu, keperluan penglibatan murid-murid prasekolah dalam aktiviti kokurikulum haruslah diisi dengan penyertaan unit beruniform bersesuaian dengan kehendak matlamat dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan Malaysia yang memerlukan pembentukan pertubuhan sahsiah individu yang seimbang dari segi emosi, sosial, rohani dan jasmani. Penyertaan PPKK (Bee Scout) di peringkat prasekolah ini merupakan satu kegiatan ko-kurikulum yang sihat lagi terpimpin serta merupakan pengenalan kepada kepengakapan.

          Matlamat penubuhan PPKK adalah untuk memberi peluang kepada kanak-kanak bersosialisasi dengan rakan sebaya secara proaktif dan terpimpin serta mererapkan nilai-nilai disiplin yang positif dalam jiwa kanak-kanak.

         Malaysia memilih lebah sebagai maskotnya. manakala BEAVER digunakan sebagai maskot di negara-negara seperti Amerika, Britain , Korea dan Kanada.